Thursday, March 14, 2013

Amanah

Dalam Islam, amanah (Bahasa Arab: أمانة‎) adalah tuntutan Iman. Lawannya khianat adalah salah satu ciri kekafiran. Seseorang yang amanah akan berusaha untuk memenuhi dasar, kod etika, undang-undang dan janji-janji mereka.

Amanah merupakan salah satu sikap terpuji para nabi dan rasul selain daripada Siddiq (Benar), Tabliq (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak).

Sabda Rasulullah s.a.w. menegaskan sebagaimana berikut:-
"Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji." (Ahmad dan Ibnu Hibban).

Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya".

Amanah tidak boleh dikhianati. Jika dikhianati juga akan membawa kesalahan yang sangat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan daripada Allah swt. 

Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketenangan hatinya akan hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai lagi masalah akan terjadi.

Pekerja yang minat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang diamanahkan jelas kita lihat memiliki sifat-sifat seperti rajin, menyiapkan kerja sehingga siap, sentiasa mencari idea dan jalan penyelesaian yang terbaik, tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit. 

Ianya akan berasa bersalah jika kumpulan sasarnya teraniaya, dan dialah orang pertama ke depan membantu jabatan serta sentiasa menepati kehendak peraturan dan prosedur ditetapkan organisasi, akan berjaya di dunia dan diakhirat.

Alangkah indahnya dalam menyelusuri pentadbiran dan pengurusan pekerjaan dalam sesebuah jabatan disulami hati-hati setiap pekerjanya dengan sifat amanah setiap kali melangkah kaki kanan ke pintu pejabat.

Bukan sahaja pekerjaan dilakukan mencapai sasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan malahan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Rahmat Allah SWT Pastinya bersama-sama jabatan kita jika semua pekerja memiliki sifat amanah. InsyaAllah.  

"Ya Allah yang Maha penyayang, tanamkanlah sifat amanah dalam hati setiap kami, bukakanlah mata hati kami agar bersikap amanah. Berkatilah setiap pekerjaan yang kami lakukan agar mencapai sasarannya dan memberikan manfaat kepada golongan sasar kami". Amin.

Mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.

Jadikan ingatan dan pedoman.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahu'alam. Wassalam.