Tuesday, April 9, 2013

Aduan atau adu domba


Mengikut kamus dewan bahasa dan putaka ‘aduan’ membawa maksud hal atau perkara yang diadukan (untuk disiasat) manakala ‘adu domba’pula bererti memperlagakan (mengacum) satu pihak supaya bermusuhan-musuhan dengan pihak yang lain.

Dalam dunia hari ini, nilai-nilai murni kian terhakis dalam diri manusia. Manusia lebih suka bertelingkah. Dalam diri hidup subur perasaan prasangka.

Di sini saya hanya ingin menyentuh sikap manusia yang suka mengadu domba. Sekadar mengingatkan diri saya agar dijauhi dan dielakkan dari melakukan perkara tersebut. Nauzubillah. 

Apa yang penting setiap perkara yang dikhabarkan kepada kita, perlu diselidiki secara halus agar tidak 'memudaratkan' pada yang lain. 

Mari kita sama-sama merenung dan menghayati maksud ayat berikut :

Maksud Ayat 6 Surah Al-Hujurat
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”.

Mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.

Jadikan ingatan dan pedoman.
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Wallahu'alam. Wassalam.

Thursday, March 14, 2013

Amanah

Dalam Islam, amanah (Bahasa Arab: أمانة‎) adalah tuntutan Iman. Lawannya khianat adalah salah satu ciri kekafiran. Seseorang yang amanah akan berusaha untuk memenuhi dasar, kod etika, undang-undang dan janji-janji mereka.

Amanah merupakan salah satu sikap terpuji para nabi dan rasul selain daripada Siddiq (Benar), Tabliq (Menyampaikan) dan Fatanah (Bijak).

Sabda Rasulullah s.a.w. menegaskan sebagaimana berikut:-
"Tiada iman pada orang yang tidak menunaikan amanah; dan tiada agama pada orang yang tidak menunaikan janji." (Ahmad dan Ibnu Hibban).

Dalam Surah Al-Anfal ayat 27, Allah SWT telah berfirman yang membawa maksud "Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui salahnya".

Amanah tidak boleh dikhianati. Jika dikhianati juga akan membawa kesalahan yang sangat tidak baik untuk diri kita. Pekerja yang tidak amanah misalnya akan melakukan pekerjaan tanpa panduan dan tatatertib yang betul. Setiap perbuatannya di pejabat sedikitpun tidak takut akan menerima balasan daripada Allah swt. 

Melakukan kerja tanpa memikirkan kesan jangka panjang dan jika berlakunya pecah amanah atau amanah dikhianati maka ketenangan hatinya akan hilang kerana takut akan bayang-bayang sendiri, tidur tidak lena dan pelbagai lagi masalah akan terjadi.

Pekerja yang minat dan bersungguh-sungguh dalam melakukan kerja yang diamanahkan jelas kita lihat memiliki sifat-sifat seperti rajin, menyiapkan kerja sehingga siap, sentiasa mencari idea dan jalan penyelesaian yang terbaik, tidak berkira masa, tenaga dan wang ringgit. 

Ianya akan berasa bersalah jika kumpulan sasarnya teraniaya, dan dialah orang pertama ke depan membantu jabatan serta sentiasa menepati kehendak peraturan dan prosedur ditetapkan organisasi, akan berjaya di dunia dan diakhirat.

Alangkah indahnya dalam menyelusuri pentadbiran dan pengurusan pekerjaan dalam sesebuah jabatan disulami hati-hati setiap pekerjanya dengan sifat amanah setiap kali melangkah kaki kanan ke pintu pejabat.

Bukan sahaja pekerjaan dilakukan mencapai sasaran, memenuhi kehendak pelanggan dan jabatan malahan akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT. Rahmat Allah SWT Pastinya bersama-sama jabatan kita jika semua pekerja memiliki sifat amanah. InsyaAllah.  

"Ya Allah yang Maha penyayang, tanamkanlah sifat amanah dalam hati setiap kami, bukakanlah mata hati kami agar bersikap amanah. Berkatilah setiap pekerjaan yang kami lakukan agar mencapai sasarannya dan memberikan manfaat kepada golongan sasar kami". Amin.

Mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.

Jadikan ingatan dan pedoman.
Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahu'alam. Wassalam.

Thursday, February 28, 2013

Kuasa Seorang Pemimpin

Kuasa. Ada dalam pelbagai bentuk. Dalam bahasa Inggeris, disebut power. Kepimpinan amat berkait rapat dengan kuasa. Pemimpin dianggap mempunyai kuasa selagi orang bawahan mahu. 

Kuasa tersebut boleh dihapuskan, dikurangkan atau ditambah bergantung kepada kemajuan matlamat ahli kumpulan.

Hari ini saya cuma ingin berbicara tentang kuasa dalam ruang lingkup yang kecil sahaja. Kuasa seorang pemimpin dalam pejabat. 

Ada orang suka kalau dapat boss lelaki. Tidak kurang juga yang suka dapat boss perempuan. Tapi ramai yang kata boss perempuan sangat cerewet. Cerewet bertempat tak apa

Yang pasti siapa pun boss kita, dia adalah ketua atau pembimbing kita dalam membentuk organisasi yang cemerlang. Cemerlang dalam aspek mental, fizikal, rohani dan jasmani.

Seorang pemimpin bukan sahaja pemegang amanah tetapi juga sebagai rujukan atau sumber inspirasi kepada anak buah. Jadi boss kenalah cemerlang barulah anak buah terbilang. 
 
Namun, yang paling menghiris hati apabila pemimpin tiada wawasan. Cakap tak serupa bikin (ayat orang muda-muda). Jadilah pemimpin yang menggunakan kuasa dengan adil, amanah, jujur dan ikhlas dalam apa jua tanggungjawab yang diberi.

Mudah-mudahan Allah s.w.t mengampuni kita semua. Amin.

Jadikan ingatan dan pedoman. 
Renung-renungkan dan selamat beramal. 
Wallahu'alam. Wassalam.

Sunday, January 27, 2013

Indahnya Sabar

Pahala bagi orang-orang yang bersabar menurut Ali r.a. berkata bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda:

"Sabar itu ada tiga:-

1. Sabar terhadap musibah, yakni sabar dan tidak merasa marah terhadap musibah yang menimpanya sebaliknya dia menerima dengan baik musibah itu. Maka Allah S.W.T. mencatatkan baginya yakni mentakdirnya atau menyuruh menulis di Luh Mahfuz 300 darjat, yakni darjat yang tertinggi di Syurga dan setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti langit dan bumi.

2. Barang siapa yang bersabar dalam taat yakni mengerjakan taat dan menanggung kesukaran taat itu maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 600 darjat yang mana satu darjat itu seperti permukaan bumi yang atas hingga ke penghabisan bumi yang terakhir.

3. Barang siapa bersabar dari maksiat, yakni meninggalkan kerja-kerja maksiat maka Allah S.W.T. akan mencatatkan baginya 900 darjat yang mana setiap satu darjat antara satu darjat itu seperti permukaan bumi hingga ke Arasy. Dan dia adalah makhluk darjatnya dua kali ganda. Sabar menjauhi segala yang diharamkan itu martabatnya paling tinggi yang paling tinggi."

Dalam al-Quran yang suci Allah telah berfirman yang bermaksud:
Katakanlah:"Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah Az-Zumar ayat 53)

Kita sebagai hamba-Nya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kekhilafan, jadi bertaubatlah kepada Allah Yang Maha Mendengar taubat. Semoga sinar hidayah menerangi kehidupan kita dan menjadi hala tuju kita untuk ke Syurga Allah yang kita idam-idamkan, Insya-Allah.

Semoga kita sentiasa dipelihara dan dilindungi Allah, Insya-Allah.

Jadikan ingatan dan pedoman. 
Renung-renungkan dan selamat beramal. 
Wallahu'alam. Wassalam.

Monday, January 14, 2013

Kesegaran Minda

Tidak Berbuat Walaupun Tahu
Diambil Pengayuh Dibuang Perahu

Tidak Tahu Tapi Berbuat
Kayuh Perahu Di Atas Darat

Banyak Bercakap Tak Baca Buku
Macam Membawa Duit Tak Laku

Kurang Berfikir Rajin Membangkang
Bila-Bila Pun Di Baris Belakang

Jadikan ingatan dan pedoman. 
Renung-renungkan dan selamat beramal. 
Wallahu'alam. Wassalam.

Sunday, January 13, 2013

Kecemerlangan...

Ianya sesuatu yang sangat subjektif. Cemerlang dalam pelajaran. Cemerlang dalam perkerjaan. Cemerlang dalam kesihatan. Cemerlang dalam perbuatan. Cemerlang dalam semua hal. 

Amat sukar untuk menilai tahap kecemerlangan dari pandangan mata kasar.Sebagai hamba Allah, kita tidak mampu menjadi sempurna. Tapi seharusnya kita berusaha untuk menjulang kecemerlangan. 

Jika sebagai pelajar, guru yang akan menilai tahap kecemerlangan. Tahap kesihatan pula boleh dinilai oleh doktor, pawang, bomoh, atau para pengamal perubatan Islam. Begitu jugalah sebagai pekerja, majikan yang akan membuat penilaian. 

Namun, sejauh manakah ketelusan atau tahap pencapaian seseorang dapat dinilai? Mungkin semasa penilaian dalam tempoh tertentu, manusia yang menilai dipengaruhi oleh emosi.

Justeru penilai gagal memberi penilaian yang benar. Kecuali jika penilaian diukur menggunakan mesin. Itupun belum tentu hasil yang diperolehi adalah tepat.

Walau apa juapun, nilaian oleh manusia di dunia ini bukanlah penentu segalanya. Pengakhiran, kita akan dinilai oleh Yang Maha Adil, yakni Allah s.w.t. 

Jadikan ingatan dan pedoman. 
Renung-renungkan dan selamat beramal. 
Wallahu'alam. Wassalam.

Wednesday, January 9, 2013

Warga Kerja Wisma Darul Iman

Perhimpunan Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman. 

Tiga bulan sekali akan berlangsung. Tanggungjawab sebagai penjawat awam. Pada awal tahun, semangat berkobar-kobar untuk mengekalkan legasi yang ada. 

Kata-kata semangat dan perangsang oleh YB Dato' Setiausaha Kerajaan sentiasa dititipkan. Nilai-nilai murni dan etika kerja sebagai penjawat awam ditekankan sekaligus dijadikan amalan. 

Apa juapun kata-kata dan ingatan, harus tersemat kukuh dalam sanubari masing-masing. Keikhlasan dan kejujuran dalam apa jua tugasan yang dipikul. Bukan sekadar berkata-kata atau mendengar di angin lalu.

Jadikan ingatan dan pedoman. 
Renung-renungkan dan selamat beramal.
Wallahu'alam. Wassalam.